Read in English

TuJu bukan jawapannya. Malaysia perlu data peta terbuka.

Oleh Harith Hilmi ·

Pada 20 Oktober, lepas pengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara, PM Anwar Ibrahim nasihatkan rakyat Malaysia tukar dari Waze ke TuJu, app navigasi keluaran LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia). Sebabnya, Waze tertakluk pada undang-undang Israel, jadi data pasal ke mana rakyat Malaysia pergi terdedah pada risiko. Tapi PM tak sebut apa risiko yang spesifik, dan takde laporan data breach atau audit yang dikeluarkan untuk sokong kenyataan tu.

Esoknya, baru kita tahu Ketua Setiausaha Negara pun dah keluarkan surat arahan pada hari yang sama untuk larang penjawat awam guna Waze. Larangan tu untuk tugas rasmi je, tapi penjawat awam digalakkan uninstall terus. Untuk kita yang lain, setakat ni cuma nasihat, dan Waze pun masih ada kat app store.

Lepas tu NACSA, agensi keselamatan siber negara, keluarkan FAQ yang terangkan sebab-sebabnya. Waze kumpul lebih dari sekadar lokasi kita (sensor peranti, cap masa, alamat IP), dan ikut setting, dia boleh kumpul walaupun kita tak tengah guna app tu. Terma dia pula bawa pertikaian ke mahkamah Israel. NACSA sendiri kata takde bukti Waze memang analisis pengguna dia macam tu, cuma kemungkinan tu tetap satu risiko yang kena ambil kira. App alternatif yang mereka cadangkan: TuJu, dan PINTAZ dari developer tempatan.

Saya contribute kat OpenStreetMap (OSM) dan guna data dia untuk side project saya, peta laluan dan hentian bas di bandar-bandar Malaysia. Jadi berita ni memang betul-betul dalam bidang saya. Saya pun download TuJu. Ni "review" saya. Saya letak dalam tanda petik sebab kebanyakan benda yang saya tak puas hati bukan app tu, tapi map yang dia guna.

Mula-mula, kena login dulu

TuJu tak boleh guna kalau takde akaun. Takde guest mode, padahal Waze dan Google Maps dua-dua boleh guna untuk navigasi tanpa login.

Skrin login TuJu: login guna Google, Apple atau e-mel, atau daftar guna e-mel. Takde pilihan untuk skip.

Lepas tu saya check privacy label dia kat App Store, yang developer isi sendiri. Developer TuJu ni Prosignal Consortium Sdn Bhd, partner swasta LLM dalam usaha sama ni. Label dia tulis:

Label Waze pun bukannya lebih baik. Dia senaraikan lokasi tepat, alamat dan sejarah carian kita untuk iklan pihak ketiga. Tapi Waze bukan app yang tengah dicanang kat kita sebagai pilihan selamat. Untuk app yang dipromosi atas alasan keselamatan data, label TuJu ni bagi first impression yang pelik.

Privacy label App Store sebelah-menyebelah. Bawah Pengiklanan Pihak Ketiga, TuJu senaraikan data penggunaan app, dan bawah Pengiklanan atau Pemasaran Pembangun, dia senaraikan maklumat kewangan, lokasi tepat dan maklumat hubungan. Waze pula senaraikan lokasi tepat, alamat fizikal, sejarah carian, ID pengguna dan data penggunaan bawah Pengiklanan Pihak Ketiga.

Tapi nak fair, TuJu ada beberapa benda yang Waze takde. Dia senaraikan apa yang ada kat setiap R&R (surau, tandas, makanan, EV charger), tunjuk CCTV lebuh raya, ada butang SOS, dan ada link ke app MyJalan LLM untuk report lubang jalan. Dia pun kira tol untuk kita, tapi ni bukan benda baru: Waze dah tunjuk harga tol di Malaysia sejak 2019, dan editor sukarelawan dia yang key in harga-harga tu.

Selebihnya, app ni masih mentah. Setakat 21 Oktober, TuJu dapat 2.6 bintang daripada 100 rating kat App Store Malaysia, dengan review yang sebut pasal map berkelip-kelip, butang recentre yang lambat, arahan belok yang salah dan carian yang tak menjadi. App iPhone dia takde update sejak versi 1.5.5 pada 25 November 2025, walaupun app Android dapat update bulan Ogos. CarPlay dan Android Auto pun belum ada. Masa launch dulu, seorang pegawai LLM beritahu Paul Tan yang ada rancangan nak tambah nanti.

Last-last, Google juga

Masa TuJu dilancarkan pada November 2025, Paul Tan lapor yang di sebalik tabir, TuJu guna data peta dan POI Google, serta teknologi dari Maybank. Carz pun lapor benda yang sama, kata The Rakyat Post. Saya check sendiri app tu. Map dia ada logo Google kat penjuru, dan bila letak sebelah-menyebelah, Google Maps (kiri) dan TuJu (kanan) sebenarnya map yang sama, cuma lain warna.

Kiri: Google Maps. Kanan: TuJu, dengan logo Google kat penjuru bawah ditanda kotak merah.

Waze ni milik Google sejak 2013. Jadi kita diminta tinggalkan app milik Google, untuk tukar ke app yang guna data peta Google juga. Saya faham, yang dirisaukan tu undang-undang Israel, bukan Google. Tapi kalau TuJu guna Google untuk carian dan routing, setiap carian dan setiap laluan tetap lalu server Google. FAQ NACSA sendiri pun sebut Google Maps dikendalikan Google LLC di Amerika Syarikat, dan pertikaian tertakluk pada undang-undang California.

Semua ni pun ada kosnya. Ikut harga penuh Google, Navigation SDK bagi 1,000 request navigasi percuma sebulan, lepas tu caj AS$25 untuk setiap 1,000. Kalau 100,000 request sebulan, kosnya lebih kurang AS$2,500 sebulan. Saya tak tahu produk Google mana yang TuJu bayar, atau LLM dapat diskaun ke tak. Tapi kalau bayarannya ikut penggunaan, setiap rakyat Malaysia yang tukar ke TuJu akan tambah bil yang dibayar kepada syarikat yang miliki Waze. Berapa besar bil tu? Dan duit rakyat ke yang bayar?

Carta bar: ikut harga penuh Google, 100,000 request navigasi sebulan kosnya AS$2,475, 500,000 kosnya AS$10,475, dan 1 juta kosnya AS$17,975

Waze bagus sebab user dia

Waze ni sebenarnya lebih macam Wikipedia daripada app biasa. Pemandu report polis, accident dan roadblock masa lalu kat situ, dan map tu sendiri dibina oleh editor sukarelawan.

Mereka ambil serius benda ni. Panduan editing Waze untuk Malaysia kunci freeway dan major highway pada level 5, jadi biasanya cuma editor senior yang usik jalan-jalan ni. Masa MalaysiaNow tulis profil editor-editor Malaysia pada 2020, takde seorang pun yang dibayar. Saya ada dalam group Telegram tempat mereka coordinate. Pada 20 Oktober, ada pemilik bisnes minta group tu padam listing Waze dia. Sebelum buat apa-apa, dua orang editor balas dengan soalan yang sama: "Reason to delete?"

Editor map Waze balas permintaan pemilik bisnes yang nak padam listing dia: "Hi, reason to delete?" Nama dikaburkan.

Moovit pun sama, tapi untuk pengangkutan awam. Data transit dia antara yang paling lengkap pernah saya jumpa, siap dengan lencongan, dan banyak datang dari sukarelawan yang Moovit panggil "Mooviters". Moovit pernah dakwa ada lebih 720,000 Mooviter. Saya pun salah seorang, cuma belum edit apa-apa lagi.

Sayangnya, semua ni tak boleh masuk OSM. Data map Waze ada hak cipta, dan wiki OSM kata mapper tak dibenarkan guna.

Google Maps jauh lagi susah nak betulkan. Kita cuma boleh cadangkan edit, dan Google akan semak dulu sebelum apa-apa berubah. Dari pengalaman saya, nak betulkan apa-apa yang besar sikit memang susah. Ni tiga yang saya hantar: dua tukar nama, dan satu report pasal tempat bernama "kolej matrikulasi selangor" yang sebenarnya tak wujud (alamat dia alamat kolej matrikulasi Perlis). Ketiga-tiganya dapat jawapan "Not accepted".

Tiga cadangan edit Google Maps saya, semuanya "Not accepted": dua tukar nama dan satu report "Doesn't exist"

TuJu bagi kita report insiden, dan itu bagus. Tapi map kat bawah tu Google punya, jadi nak betulkan jalan yang salah pun tetap kena lalu Google.

Rajah: siapa boleh betulkan jalan yang salah. OpenStreetMap: sesiapa pun boleh edit. Waze: editor sukarelawan, dan highway dikunci untuk editor senior. Google Maps: kita cuma boleh cadang, dan Google semak dulu. TuJu: boleh report insiden, tapi map dia Google punya.

Kalau Waze bermasalah, Moovit pun sama

Terma Waze sebut nama Waze Mobile Ltd, syarikat Israel yang berpangkalan di Tel Aviv. Terma tu hanya tertakluk pada undang-undang Israel, dan apa-apa pertikaian dibawa ke mahkamah di daerah Tel Aviv. Jadi kebimbangan ni memang ada asasnya: atas kertas, orang Malaysia yang ada pertikaian dengan Waze kena pergi mahkamah kat Tel Aviv.

Tapi Moovit pun syarikat Israel. Intel beli Moovit pada 2020 dengan harga lebih kurang AS$900 juta. Terma penggunaan Moovit kata tuntutan tertakluk pada undang-undang Israel, dan cuma mahkamah daerah Tel Aviv yang ada bidang kuasa. Lagi satu, app transit tahu kat hentian mana kita naik setiap pagi, dan kat mana kita turun.

Kerajaan langsung tak sebut pasal Moovit, FAQ NACSA pun tak. Ni dua app yang ramai orang Malaysia guna, dan dua-dua syarikat Israel. Kalau masalahnya bidang kuasa Israel ke atas data pergerakan kita, benda yang sama kena pada dua-dua app. Untuk bas, ni satu lagi sebab saya bina peta bas saya sendiri atas data terbuka.

Rajah: Waze, yang kerajaan nasihat supaya jangan guna, dan Moovit, yang kerajaan tak sebut langsung, dua-dua syarikat Israel yang terma dia merujuk pada undang-undang dan mahkamah Israel

Peta terbuka dah pun ada

OpenStreetMap ni macam Wikipedia untuk peta. Sesiapa pun boleh edit, dan sesiapa pun boleh guna data dia secara percuma. (Mestilah saya bias.)

Data OSM untuk Malaysia sebenarnya lagi bagus dari yang ramai sangka, antaranya sebab syarikat-syarikat besar pun bergantung pada dia. Grab bina map dia atas OSM, dan pada 2022, The Register lapor yang team Grab buat lebih kurang satu perlima daripada semua edit OSM di Asia Tenggara. Apple pula ada team data sendiri yang edit OSM (edit mereka ditag #adt) dan guna data OSM dalam Apple Maps. Kat Kuala Lumpur, 12% segmen jalan dalam OSM kali terakhir diedit oleh team Grab, dan 11% oleh team Apple.

Carta bar bertindan: daripada 76,884 segmen jalan di Kuala Lumpur dalam OSM, team mapping Grab buat edit terakhir untuk 12.0%, team mapping Apple 11.1%, Kaart 6.5%, dan orang lain 70.5%

Data ni percuma bawah Open Database Licence (ODbL). Kita kena bagi kredit pada contributor OSM, dan kalau kita terbitkan versi data yang dah ditambah baik, kena kongsi bawah lesen yang sama. Server tetap kena bayar sendiri, tapi takde siapa caj ikut request. Macam tu la saya guna dalam app saya. Organic Maps dan CoMaps tu app navigasi penuh yang dibina atas OSM, dan dua-dua boleh guna offline.

Masalahnya, OSM cuma boleh simpan data yang orang dibenarkan masukkan. Mapper tak boleh copy dari Google Maps atau Waze, dan kat Malaysia, kebanyakan data kerajaan pun tak boleh copy.

Kerajaan ada data, tapi simpan je

Wiki OSM Malaysia ada senarai sumber yang mapper tak boleh guna. Google dan Waze memang ada dalam senarai tu, macam yang dijangka. Malaysia Geoportal, portal kerajaan sendiri, pun sama. Notis hak cipta dia larang salin tanpa kebenaran bertulis.

i-Plan PlanMalaysia tunjuk guna tanah dan zoning sampai ke peringkat lot, dan sesiapa pun boleh tengok. Tapi i-Plan sendiri kata data tu "hak milik agensi sumber", dan halaman hak cipta dia larang salin atau terbitkan semula tanpa kebenaran bertulis. Majlis tempatan (PBT) pula pegang data jalan majlis, nama jalan, permit tutup jalan dan lesen premis perniagaan, yang basically dah jadi senarai kedai dan restoran siap sedia. Setakat yang saya tahu, takde satu pun yang jadi open data.

Kes Pulau Pinang ni lagi sedih. Garis panduan perancangan 2024 negeri tu minta sesiapa yang mohon kebenaran merancang hantar pelan GIS digital (garis tengah jalan, tapak bangunan, lot), dan pelan as-built bila projek dah siap. Maksudnya, kerajaan negeri dah ada layout jalan untuk taman perumahan baru sebelum jalan tu wujud pun, sedangkan mapper OSM kena tunggu imej satelit untuk trace secara manual.

Garis masa: kerajaan negeri dapat layout digital jalan baru masa peringkat permohonan kebenaran merancang, sedangkan mapper OSM cuma boleh trace lepas imej satelit baru tunjuk jalan yang dah siap

Penutupan jalan pula lain cerita. Benda ni tak sesuai masuk OSM, sebab data peta selalunya diguna offline berminggu-minggu atau berbulan-bulan, jadi kena ada live feed. DBKL keluarkan permit tutup jalan dan uruskan pusat kawalan trafik, tapi saya tak jumpa feed terbuka yang app boleh terus guna. LTA Singapura dah ada, siap dengan kerja jalan dan insiden secara real-time. Perbadanan Putrajaya pulak, Ogos 2025 haritu, bagitau orang ramai yang maklumat penutupan jalan Hari Kebangsaan dah dikemaskini kat Waze.

Editor Waze memang hadap benda ni. Pada 19 Oktober, seorang daripada mereka merungut dalam group yang JKR dan agensi lain kongsi notis tanpa koordinat, macam orang awam tahu semua tempat tu kat mana. Seorang lagi kata LLM, agensi di belakang TuJu, dan syarikat-syarikat highway pun sama je, bagi penanda KM macam orang awam tahu kat mana tu. Lepas tu editor yang sama kongsi notis lencongan JKR Gua Musang sebagai contoh yang bagus, sebab siap ada QR code lokasi. Itu je yang diorang minta: letak lokasi. Lagi best kalau buat feed terus, yang semua app boleh baca.

Editor Waze dalam group cakap JKR, LLM dan syarikat highway tak letak koordinat dalam notis, lepas tu puji notis lencongan JKR yang ada QR code lokasi. Nama dikaburkan.

Satu yang bagi harapan: data.gov.my. Dataset macam data jumlah penumpang ni guna lesen CC BY 4.0, malah ada API live yang tunjuk kat mana bas Rapid di KL, Pulau Pinang dan Kuantan sekarang ni, walaupun feed transit tu belum nyatakan lesen lagi. Jadi, agensi kita sebenarnya boleh je terbitkan open data bila mereka nak. Untuk OSM, CC BY je belum cukup, dan OSM Foundation minta waiver yang jelas. Agensi tanah New Zealand dah pun sign. Kita pun boleh.

Feed bas tu tunjuk apa jadi bila data dibuka: orang build benda atas dia. Dah ada integration Home Assistant yang tunjuk bas RapidKL dan Rapid Penang secara live, dan peta 3D laluan transit Malaysia yang tambah bas live dari feed yang sama. Dengan AI coding tools sekarang, harga software dah jatuh banyak. Yang mahal sekarang ialah data. Kerajaan nak Malaysia jadi AI Nation menjelang 2030, dan action plan dia sendiri senaraikan data sebagai salah satu asas. Kalau betul-betul serius, buka la data peta tu dan biar orang build atas dia, macam diorang buat dengan data bas.

"Tapi peta kan rahsia"

Ada orang dalam kerajaan yang masih tak nampak apa gunanya open data. Lagi-lagi peta. Kata mereka, peta ni rahsia.

Saya faham, dan peraturan memang berpihak pada mereka. Pekeliling 2007 dari Ketua Setiausaha Negara (pejabat yang sama yang baru je larang penjawat awam guna Waze) kelaskan siri peta topografi utama JUPEM sebagai Terhad. Maksudnya, peta-peta tu dikira rahsia rasmi bawah Akta Rahsia Rasmi. Kat Perpustakaan Negara pun, nak tengok je kena dapat kelulusan dulu. Lepas tu ada pula pekeliling 2024 dari kementerian sumber asli yang kata data geospatial "boleh memberi impak yang tinggi kepada keselamatan negara", sebelum terangkan cara agensi patut lesenkan dan letak harga untuk data tu.

Memang ada tempat yang tak patut keluar dalam peta awam, macam depoh peluru atau kawasan dalam kem tentera. Tapi pekeliling 2007 tu dah pun uruskan hal ni. Depoh peluru cuma dipetakan sampai pagar, dan bangunan dalam pangkalan pasukan keselamatan dan stesen janakuasa tak dilabel. Pekeliling tu siap sebut yang maklumat geospatial boleh disediakan dalam "dua versi iaitu versi terperingkat bagi kegunaan pasukan keselamatan dan versi tidak terperingkat untuk kegunaan awam".

Jadi caranya, sorok lokasi-lokasi tertentu je, bukan satu peta. Kunci semua sekali lebih banyak ruginya daripada apa yang dilindungi. Sesiapa pun boleh tengok jalan raya kita dalam satellite view kat telefon, dan TuJu pun guna map Google untuk jalan-jalan tu. Google dah pun ada data jalan kita. Yang terkunci kat luar tu developer dan mapper Malaysia sendiri, dan akhirnya app mereka jalan atas peta asing. Ni terbalik dengan apa yang larangan Waze tu nak capai.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara sendiri pernah buat hujah yang sama pada 2015. Pekeliling open data mereka senaraikan "Topografi, poskod, peta nasional, peta tempatan" sebagai data yang agensi boleh buka, tanpa caj, "untuk pertumbuhan ekonomi dan peningkatan inovasi". Pekeliling tu juga suruh agensi semak data mereka dengan Akta Rahsia Rasmi dulu, dan kat situlah pengelasan 2007 tadi akhirnya sekat semua ni.

Apa yang Singapura buat

Pihak berkuasa tanah Singapura (SLA) uruskan OneMap. API dia percuma lepas daftar: map tiles, carian alamat dan poskod, routing untuk kereta, jalan kaki, basikal dan pengangkutan awam, dan lebih 100 layer data kerajaan. Semua bawah Singapore Open Data Licence, yang benarkan guna komersial asalkan nyatakan sumber. OneMap kumpul data dari lebih 65 agensi awam, dan lebih kurang 67 agensi kerajaan guna OneMap untuk servis mereka sendiri.

OneMap, peta Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA), tunjuk Capital Square siap dengan alamat, poskod dan koordinat dia

Maksudnya, Singapura ada satu peta nasional yang sesiapa pun boleh guna untuk bina apa-apa. Kita pula ada app atas Google yang kena login dulu baru boleh guna.

Singapura pun bukan jenis ambil mudah bab keselamatan. Kat sana, ambil gambar kawasan larangan tanpa kebenaran dikira satu kesalahan. Mereka lindungi lokasi yang sensitif, tapi peta asas tetap diterbitkan.

Nak fair, urusan Singapura memang lebih senang: satu kerajaan je, takde negeri. Kat sana pun, seorang mapper yang nak masukkan data covered walkway LTA ke dalam OSM pada 2022 tanya LTA dulu, dan dapat green light. Tapi benda asas (alamat, routing, kawasan perancangan) memang terbuka, dan bahagian tu la yang kita boleh tiru.

Bukan Singapura je. Dulu kat Denmark, orang kena beli data alamat dari setiap majlis perbandaran. Pada 2002, Denmark setuju jadikan data tu percuma, dan satu kajian pada 2010 kira manfaat langsung lebih kurang €62 juta dari 2005 hingga 2009, berbanding kos lebih kurang €2 juta. Australia pula dah buka G-NAF, senarai alamat negara tu siap dengan koordinat, sebagai open data sejak 2016.

GPS sendiri asalnya sistem tentera AS. Lepas Kesatuan Soviet tembak jatuh Korean Air Lines Flight 007 pada 1983 (pesawat tu tersasar masuk ruang udara Soviet sebab silap navigasi), pentadbiran Reagan umumkan GPS akan dibuka untuk kegunaan awam. Tentera AS simpan isyarat paling tepat untuk diri sendiri sampai tahun 2000, sama macam idea dua versi dalam pekeliling 2007 kita. Satu kajian 2019 untuk NIST, agensi piawaian AS, anggarkan manfaat ekonomi GPS untuk sektor swasta AS je dah sekitar AS$1.4 trilion sejak 1980-an. Setiap app navigasi, termasuk TuJu, bergantung pada GPS.

Apa yang saya nak minta

Takde menteri yang boleh selesaikan semua ni sorang-sorang. Bawah Perlembagaan Persekutuan, tanah dan kerajaan tempatan ni urusan negeri, kecuali kat Wilayah Persekutuan. Tapi Majlis Tanah Negara dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan tetapkan dasar yang kerajaan persekutuan dan negeri wajib ikut (Sabah dan Sarawak perlukan perjanjian sendiri). Kat KL dan Putrajaya pula, tanah, majlis dan perancangan semuanya bawah persekutuan.

Saya tak rasa jawapannya satu lagi app. Kalau kerajaan nak data lokasi kita kekal selamat dan dalam negara, kerajaan patut buka data yang dah ada, dan biar semua orang bina atas data tu, termasuk TuJu:

  1. LLM terbitkan data lebuh raya dia (tol, kemudahan R&R, penutupan jalan dan CCTV) sebagai open API. LLM agensi persekutuan, jadi takde negeri yang perlu setuju pun.
  2. Agensi-agensi kat data.gov.my sign waiver OSM untuk data CC BY mereka, dan JUPEM terbitkan versi awam peta dia, yang memang dah dibenarkan dalam pekeliling 2007, bawah lesen terbuka.
  3. KL dan Putrajaya buat projek rintis. DBKL boleh mula dengan live feed permit tutup jalan, serta nama jalan dan lesen premis (nama bisnes, jenis dan alamat je) sebagai open data.
  4. Majlis Tanah Negara dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan setuju guna satu lesen terbuka untuk data peta tanah dan PBT.
  5. Negeri macam Pulau Pinang buka layer jalan dan bangunan yang pemohon kebenaran merancang memang dah hantar pun.
  6. Ada pihak yang biayai pemetaan komuniti. Grab dah pun bayar driver dia untuk kumpul data peta, macam tempat yang belum ada dalam map, jadi modelnya memang dah wujud.
  7. Kalau TuJu nak dikekalkan, dia kena ada guest mode dan berhenti guna data kita untuk iklan, dan LLM kena dedahkan kontrak tu serta berapa yang dibayar kepada Google.

Apa yang saya tengah buat

Saya kekal dengan OSM, dan akan terus mapping. Saya juga tengah tambah feature untuk contributor dalam peta bas saya. Feature tu masih dalam development, dan saya nak apa saja yang orang tambah kat situ akhirnya masuk OSM, supaya semua orang boleh guna.

Tapi korang tak perlu app saya pun untuk mula, atau apa-apa pengalaman mapping. Buat akaun kat openstreetmap.org, cari jalan rumah sendiri dan tekan Edit. Editor dalam browser ada tutorial ringkas untuk orang baru. Kat telefon pula, StreetComplete (Android) akan tanya soalan-soalan mudah pasal benda-benda sekeliling, dan Every Door (iPhone dan Android) sesuai untuk tambah kedai dan pintu masuk. Nak betulkan jalan dekat rumah cuma ambil masa lebih kurang sepuluh minit, dan takde siapa yang perlu luluskan dulu.

Kalau stuck, komuniti OSM Malaysia ada forum dan group Telegram.

Ada pendapat? Cari saya kat X: @harithilmi